Rumah jenama kereta Berita Teknologi Maklumat perniagaan Berita antarabangsa Urus niaga harta tanah Komuniti kewangan Permainan Hiburan Kehidupan Fesyen Pendidikan Anak Ibu bapa-anak Sukan Kesihatan Makanan Hotel Cerdas

Indeks Bursa Malaysia ditutup rendah, pasaran meluas positif menjelang pengumuman FED

2025-12-11 HaiPress

Foto hiasan/ RTM

KUALA LUMPUR,10 Disember - Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan Rabu meskipun pasaran secara meluas adalah positif,seiring dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau dan isyarat bercampur-campur Wall Street.

Perkembangan itu berlaku ketika pelabur bersikap berhati-hati menjelang pengumuman dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) lewat malam ini.

Pihak Jawatankuasa Pasaran Terbuka AS (FOMC) memulakan mesyuarat dasar selama dua hari yang berakhir hari ini.

Pada 5 petang,indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.17 mata atau 0.19 peratus kepada 1,611.00 daripada paras penutup pada 1,614.17.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 3.13 mata kepada 1,611.04,malah mencecah paras terendah intra harian 1,606.11 pada sesi dagangan awal sebelum melantun dan mencecah paras tertinggi harian 1,612.50.

Sentimen pasaran sebaliknya adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 515 berbanding 472 manakala 608 tidak berubah,sejumlah 1,154 tidak diniagakan dan 12 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.86 bilion unit bernilai RM2.21 bilion daripada 2.66 bilion unit bernilai RM2.09 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup rendah ketika pelabur terus meninjau peluang bernilai,terutama dalam kalangan kaunter bermodal rendah.

“Indeks penanda aras itu bergerak dalam paras sokongan pertama sekitar 1,610,sekali gus memaparkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur.

“Di sebalik penyederhanaan dalam tempoh terdekat ini,prospek jangka pertengahan pasaran kekal tidak terjejas ketika paras 1,600 hingga 1,610 terus menjadi sokongan penting yang lazimnya menarik mereka yang berminat mendapatkan saham-saham berharga rendah,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata sekiranya minat belian kembali di paras itu,indeks berkenaan dijangka stabil serta pulih apabila sentimen pasaran menjadi lebih positif.

“Walaupun pasaran kekal suram dalam masa terdekat ini,asas-asas yang ada sebaliknya menunjukkan daya tahan dalam minggu-minggu akan datang. Sehubungan itu,kami mengekalkan sasaran FBM KLCI mingguan pada 1,630,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM10.12,Public Bank kekal pada RM4.37,CIMB Group susut tiga sen kepada RM7.82,IHH Healthcare merosot 13 sen kepada RM8.40,manakala Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM12.74.

Bagi kaunter paling aktif,Borneo Oil kekal pada setengah sen,Zetrix AI naik 2.5 sen kepada 83 sen,Velesto Energy meraih 1.5 sen kepada 27 sen,Tanco Holdings menokok dua sen kepada RM1.16 manakala Lac Med yang baru disenaraikan di Pasaran Utama,naik 1.5 sen kepada 76.5 sen.

Antara kaunter dengan untung paling ketara adalah Nestle yang melonjak RM3.30 kepada RM115.00,DKSH menambah 63 sen kepada RM5.90,Malaysian Pacific Industries meningkat 30 sen kepada RM32.18,Allianz Malaysia meraih 30 sen kepada RM19.96 dan Dutch Lady naik 28 sen kepada RM30.28.

Sebaliknya,kaunter dengan kerugian ketara adalah Hong Leong Industries yang merosot 28 sen kepada RM15.72,United Plantations susut 24 sen kepada RM28.60,Far East Holdings rugi 20 sen kepada RM4.15,Fraser & Neave berkurangan 20 sen kepada RM35.00 dan ITMAX kehilangan 11 sen kepada RM4.53.

Di papan indeks pula,Indeks FBM Emas susut 16.29 mata kepada 11,916.91,Indeks FBM Emas Shariah turun 5.79 mata kepada 11,788.88,Indeks FBMT 100 berkurangan 19.71 mata kepada 11,701.27,Indeks FBM 70 merosot 13.43 mata kepada 16,651.07 dan Indeks FBM ACE kehilangan 23.31 mata kepada 4,730.98.

Dari segi sektor,Indeks Perladangan merosot 18.75 mata kepada 8,062.83,Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 11.77 mata kepada 18,918.40,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.51 mata kepada 166.99 dan Indeks Tenaga meraih 5.50 mata kepada 757.43.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.63 bilion unit bernilai RM1.81 bilion berbanding 1.14 bilion unit bernilai RM1.85 bilion,semalam.

Selain itu,perolehan waran naik kepada 1.89 bilion unit bernilai RM268.63 juta berbanding 1.21 bilion unit bernilai RM141.42 juta,sebelum ini.

Di Pasaran ACE,jumlah dagangan meningkat kepada 336.40 juta unit bernilai RM125.36 juta berbanding 299.51 juta unit bernilai RM96.30 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 179.60 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (431.42 juta),pembinaan (89.23 juta),teknologi (255.78 juta),perkhidmatan kewangan (42.25 juta),hartanah (185.10 juta),perladangan (39.38 juta),amanah pelaburan hartanah (14.56 juta),dana tertutup (3,500),tenaga (203.25 juta),penjagaan kesihatan (121.30 juta),telekomunikasi dan media (23.69 juta),pengangkutan dan logistik (31.88 juta),utiliti (21.65 juta) dan amanah perniagaan (5,100). -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Maklumat Perniagaan Melayu   Stok, sekuriti, pengurusan kewan   Hubungi kami   SiteMap