2025-10-13
HaiPress
Dr. Zulkifli menyambut kepulangan aktivis Malaysia di KLIA /Foto BERNAMA
SEPANG,12 Oktober - Malaysia merakamkan penghargaan kepada Turkiye atas kerjasama erat membantu membebaskan dan membawa pulang sembilan aktivis misi flotila kembali ke tanah air.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata pembebasan kesemua sukarelawan itu adalah hasil kejayaan diplomasi dan hubungan erat antara Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye,Recep Tayyip Erdogan.
"Sekali lagi,melalui hubungan rapat dan diplomasi antara Perdana Menteri dengan Presiden Republik Turkiye,kesemua 9 sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh pihak Israel telah berjaya dibebaskan pada 10 Oktober 2025 dan dibawa ke Istanbul," katanya.
Menurutnya,Malaysia turut menghargai usaha pelbagai negara atas sokongan dan bantuan diplomatik yang diberikan sepanjang misi itu dijalankan.
Terdahulu,aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,petang tadi.
Ketibaan mereka disambut Isteri Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,Dr. Zulkifli dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Anggota keluarga dan penyokong misi berkenaan turut hadir menyambut kepulangan delegasi Malaysia.
Kesemua sembilan sukarelawan terbabit telah ditahan oleh tentera rejim Israel pada 8 Oktober lalu ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan.
Mereka kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan ditahan di Penjara Ketziot,salah satu pusat tahanan terbesar Israel.
Dua hari kemudian,mereka dibebaskan dan dibawa keluar ke Istanbul dengan menaiki penerbangan khas Turkish Airlines.
Misi kali ini menghimpunkan lebih 150 aktivis dari 25 negara,yang menyertai usaha kemanusiaan antarabangsa bagi memecahkan sekatan Zionis dan memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berpanjangan.