2025-06-25
HaiPress
Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa Jabatan Penyiaran Malaysia,Md Shahri Saripan / Foto RTM
KUALA LUMPUR,25 Jun - Memasuki tahun kelima penubuhannya,Saluran Berita RTM terus memperkukuh peranannya sebagai platform penyiaran berita yang sahih,berwibawa dan berteraskan integriti dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat Malaysia.
Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa Jabatan Penyiaran Malaysia,Md Shahri Saripan berkata,ia selaras dengan tanggungjawab Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai media rasmi kerajaan untuk terus menyampaikan maklumat yang tepat dan berasaskan fakta.
“RTM memainkan peranan penting untuk menyampaikan maklumat,menghibur dan mendidik rakyat Malaysia. Sudah tentu,apa yang kami paparkan melalui berita-berita kami mestilah tepat dan sahih. Itulah yang sentiasa saya tekankan agar RTM menjadi sumber rujukan utama bagi sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai,” katanya secara eksklusif kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia,TV1 di Angkasapuri Kota Media.
Selain itu,beliau turut menegaskan RTM perlu menjadi agensi media yang dipercayai rakyat,bukan sahaja dalam penyampaian berita tempatan,tetapi juga dalam liputan berita antarabangsa.
Walau bagaimanapun,integriti dan profesionalisme merupakan tonggak utama bagi memastikan mutu dan kredibiliti penyampaian berita sentiasa terpelihara.
Md Shahri menekankan nilai integriti sentiasa diterapkan dalam kalangan setiap wartawan RTM.
“Setiap wartawan yang bertugas di RTM diterapkan dengan nilai integriti yang tinggi serta budaya menyemak fakta secara teliti,bagi memastikan laporan yang disampaikan tidak bercanggah dengan kejadian sebenar di lokasi,” katanya.
Jelas beliau,setiap berita perlu melalui proses semakan dan tapisan yang ketat,bermula daripada wartawan di lapangan sehingga ke peringkat editorial.
Bagi memastikan kualiti pemberitaan yang tinggi,Md Shahri menegaskan semua petugas berita di RTM mesti mengamalkan dasar semakan fakta secara berulang dan menyeluruh.
“Saya sentiasa mengingatkan wartawan saya dengan tiga perkataan penting,"semak,semak,semak". Ia sebagai peringatan agar setiap maklumat diperiksa dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kesilapan,” ujarnya lagi.
Beliau menjelaskan,sebagai agensi di bawah kerajaan yang turut berperanan sebagai jurucakap rasmi,RTM perlu sentiasa berhati-hati agar tidak tersasar dari segi ketepatan fakta,demi memelihara kredibiliti dan reputasi sebagai media rasmi kerajaan.
RTM kini bergiat aktif untuk memperkukuh mekanisme dalaman serta melaksanakan latihan berterusan bagi memastikan setiap laporan yang dihasilkan bukan sahaja berkualiti,malah mampu menjadi sumber rujukan utama masyarakat dalam era maklumat yang pantas dan mencabar.