2025-06-25
HaiPress
Mahkamah Rayuan putuskan Duta Enclave tidak dipindah milik kepada SESB / Foto Hiasan / Bernama
PUTRAJAYA,24 Jun – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan tanah strategik berkeluasan lebih 263 ekar di Duta Enclave,Mukim Batu,tidak akan dipindah milik kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB),sekali gus menamatkan pertikaian hak milik yang berlarutan hampir 70 tahun.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng,bersama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh,selepas membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ogos tahun lalu.
“Mahkamah mengarahkan agar pampasan dibayar kepada SESB berdasarkan nilai pasaran tanah pada tarikh pengambilan,iaitu 3 Disember 1956,dan bukannya mengikut nilai semasa,” jelas Hakim Lee Swee Seng.
Panel tersebut turut memutuskan Mahkamah Tinggi akan menilai jumlah pampasan dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar penilai bebas,manakala pengurusan kes ditetapkan pada 30 Jun ini.
Tanah yang terlibat terletak di lokasi premium sekitar Jalan Duta,dan menempatkan pelbagai bangunan penting kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional,Institut Integriti Malaysia,Arkib Negara,Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Akademi SPRM.
Keputusan hari ini juga bermaksud Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan semula hak milik tanah itu kepada SESB,sekali gus mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Pertikaian undang-undang antara SESB dan kerajaan bermula sejak 2003,apabila syarikat itu memfailkan saman dengan mendakwa bahawa tanah berkenaan telah diambil oleh kerajaan secara tidak sah.
Pada 2009,Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pengambilan tanah tersebut oleh kerajaan adalah tidak sah.
Bagaimanapun,rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan turut ditolak.
Tidak berputus asa,SESB pada Februari 2017 sekali lagi memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.