2024-11-14 HaiPress
Menteri Perpaduan Negara,Datuk Aaron Ago Dagang
KUALA LUMPUR,14 November - Kementerian Perpaduan Negara (KPN)sedang menyediakan kertas dasar berhubung pemerolehan dan usaha membawa pulang artifak dan manuskrip bersejarah negara untuk diangkat bagi kelulusan Jemaah Menteri.
Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata,ia sebagai usaha serius kerajaan dalam mendapatkan kembali khazanah negara yang dijarah semasa zaman penjajahan.
Namun usaha tersebut tidak mudah memandangkan ia melibatkan hubungan dan kerjasama peringkat antarabangsa selain peruntukan besar kerana suatu proses yang panjang dan berterusan.
"Usaha untuk membawa pulang artifak dan manuskrip lama yang berkaitan sejarah tanah Melayu yang dijarah di zaman penjajahan Portugis,Belanda dan Inggeris yang disimpan di luar negara sememangnya telah dan sedang dilaksanakan Kementerian melalui Jabatan Muzium,Arkib Negara Malaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia.
"Sebagai contoh muzium negara telah membawa balik rangka paus biru dari singapura thn 1974 dan rangka manusia Gua Cha,Kelantan dari University Cambridge pada tahun 2008," kata Aaron.
Pada masa sama,KPN melalui melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) juga telah menganjurkan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 yang memfokuskan pemeliharaan artifak dan manuskrip sebagai elemen sejarah sebagai tunjang pembentukan masyarakat Malaysia MADANI.