Rumah jenama kereta Berita Teknologi Maklumat perniagaan Berita antarabangsa Urus niaga harta tanah Komuniti kewangan Permainan Hiburan Kehidupan Fesyen Pendidikan Anak Ibu bapa-anak Sukan Kesihatan Makanan Hotel Cerdas

Lebih 3 juta pengunjung dijangka meriahkan MAHA 2024

2024-09-08 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,8 September- Lebih tiga juta pengunjung dijangka memeriahkan Pameran Pertanian,Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang berlangsung 11 September ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Lokman Hakim Ali yakin sasaran itu berjaya dicapai dengan komitmen serta penyertaan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

"Aktiviti yang cukup mantap sepanjang 11 hari ini akan memberi satu pengalaman pengunjung yang cukup baik.

"Pengunjung dapat melihat aktiviti huluan seperti padi,nanas,perikanan dan kita ada elemen baharu seperti 'floating market','3d lighting','rythm of farmers' sepanjang ia (MAHA) berlangsung," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.

Lebih 13 kementerian dan agensi kerajaan bergabung tenaga bagi memastikan kelancaran ulang tahun ke-100 ekspo pertanian terbesar di Asia Tenggara itu.

Dalam pada itu,Lokman Hakim berkata MAHA Go Global menjadi fokus dalam MAHA 2024.

Lokman Hakim berkata penglibatan lebih 16 buah negara mampu menjadi pemangkin sektor keterjaminan makanan yang berdaya tahan,sekali gus meraih pengiktirafan antarabangsa.

"Ini merupakan satu strategi yang mana kita fikir akan dapat membantu usaha kerajaan dalam mengangkat martabat,mengukuhkan dan memperkasakan lagi sektor pertanian dalam usaha mencapai agenda keterjaminan negara.

"Kita bukan lagi jaguh kampung yang bermain dalam pasaran domestik tapi kita ingin berjaya,kita berkecimpung dalam pasaran luar antarabangsa walaupun dalam sektor pertanian dan agromakanan," katanya.

Menerusi pameran itu,Amerika Syarikat,Jepun dan China akan mempamerkan inovasi serta teknologi terkini,selain menampilkan beberapa syarikat yang berjaya dalam aktiviti hiliran dan huluan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Maklumat Perniagaan Melayu   Stok, sekuriti, pengurusan kewan   Hubungi kami   SiteMap