Rumah jenama kereta Berita Teknologi Maklumat perniagaan Berita antarabangsa Urus niaga harta tanah Komuniti kewangan Permainan Hiburan Kehidupan Fesyen Pendidikan Anak Ibu bapa-anak Sukan Kesihatan Makanan Hotel Cerdas

Malaysia terus berjaya raih pelaburan

2024-09-05 berita.rtm.gov.my HaiPress

Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz/ Foto Bernama

KUALA LUMPUR,4 September- Malaysia kekal berdaya tahan dan terus berjaya menarik pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global apabila pelaburan diluluskan melonjak kepada RM160 bilion merentas sektor perkhidmatan,pembuatan dan utama dalam tempoh separuh pertama 2024.

Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata lonjakan pelaburan itu disokong oleh 2,948 projek pelaburan yang dijangka mencipta kira-kira 79,187 peluang pelaburan baharu.

“Prestasi pelaburan Malaysia yang kukuh sebanyak RM160 bilion,meningkat 18 peratus pada separuh pertama 2024 adalah bukti komitmen kita untuk mewujudkan persekitaran menyokong pelaburan,mesra perniagaan yang memupuk transformasi industri dan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata ekonomi Asean diunjur berkembang 4.6 peratus pada 2024 dan 4.7 peratus pada 2025 berikutan peningkatan kukuh permintaan dalam dan juga luar negara,dan Malaysia berazam untuk memanfaatkan pertumbuhan ini.

“Angka pelaburan diluluskan pada separuh pertama itu mencerminkan penghargaan pelabur terhadap dasar jelas Malaysia yang menyediakan landskap kondusif untuk syarikat berkembang maju.

“Didorong oleh rangka kerja padu kita,seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,Strategi Semikonduktor Nasional dan Strategi Pelaburan Hijau,semakin banyak perniagaan global telah mula menyedari potensi besar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus memasarkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab pembuatan atau perkhidmatan serantau untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Selain itu,katanya,ini juga bagi memastikan lebih banyak peluang perniagaan untuk PKS dan pekerjaan berkemahiran tinggi bagi rakyat Malaysia.

Sementara itu,Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata bagi tempoh separuh pertama 2024,agensi itu menyaksikan nilai pelaburan diluluskan yang luar biasa sekali gus menyokong komitmen Malaysia terhadap keterangkuman dan kemakmuran negara.

“Pelaburan ini bukan hanya sekadar angka di atas kertas; ia merupakan komitmen kita untuk mewujudkan ekonomi yang lebih saksama dan berkembang maju. Kelulusan yang direkodkan sejajar dengan pencapaian keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku kedua sebanyak 5.9 peratus,didorong antara lainnya aktiviti pelaburan yang dipertingkatkan.

“Ukuran sebenar kejayaan terletak pada pelaksanaan projek yang diluluskan ini,yang akan memacu prestasi makroekonomi negara yang positif dan melimpahkan kesan merentas komuniti,” katanya.

Beliau berkata fokus MITI dan MIDA kekal untuk memastikan setiap pelaburan menyumbang kepada masa depan yang lebih makmur dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia selain menempa laluan ke arah inovasi dan daya tahan ekonomi,mengukuhkan lagi ekosistem perindustrian dan rantaian bekalan domestik negara.

Menurut MITI,pelaburan domestik menerajui pada separuh pertama 2024,menyumbang 53.4 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM85.4 bilion.

“Ini adalah petanda jelas pertumbuhan berterusan perniagaan domestik dan keyakinan terhadap dasar ekonomi negara. Manakala pelaburan asing menyumbang 46.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM74.6 bilion,” katanya.

Meskipun pelaburan domestik dan asing memainkan peranan penting menyokong ekonomi negara,peningkatan ketara sumbangan pelaburan domestik kepada pertumbuhan negara merupakan petunjuk jelas keyakinan perniagaan tempatan.

Lima negeri teratas yang menarik pelaburan paling banyak di Malaysia ialah Kuala Lumpur (RM37.6 bilion),Selangor (RM35.0 bilion),Kedah (RM31.9 bilion),Pulau Pinang (RM13.1 bilion) dan Johor (RM12.9 bilion).

Kerajaan MADANI yang stabil dan persekitaran mesra perniagaan adalah antara nilai utama daya tarikan Malaysia untuk terus menarik pelaburan asing.

Bagi bahagian pelaburan asing,Austria mendahului sebanyak RM30.1 bilion,diikuti Singapura (RM16.5 bilion),China (RM9.8 bilion),Belanda (RM4 bilion) dan Taiwan (RM2.4 bilion).

Dari segi sektor,pembuatan menerajui pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2024 dengan menarik pelaburan sebanyak RM60.1 bilion,meningkat 34.1 peratus daripada RM44.9 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Ini mencerminkan pemulihan kukuh keyakinan pelabur,” katanya.

Elektrik dan elektronik (E&E) merupakan industri utama yang menyokong pertumbuhan pembuatan dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM36.9 bilion. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Maklumat Perniagaan Melayu   Stok, sekuriti, pengurusan kewan   Hubungi kami   SiteMap