Rumah jenama kereta Berita Teknologi Maklumat perniagaan Berita antarabangsa Urus niaga harta tanah Komuniti kewangan Permainan Hiburan Kehidupan Fesyen Pendidikan Anak Ibu bapa-anak Sukan Kesihatan Makanan Hotel Cerdas

Tengku Hassanal murka kenyataan Muhyiddin, gesa PDRM laksana siasatan

2024-08-19 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Fail/BERNAMA

KUANTAN,19 Ogos- Tengku Mahkota Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikai tugas serta peranan Sultan Pahang,Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Sehubungan itu,Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen raja,agama dan kaum (3R).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz,Kuantan,Tengku Hassanal menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran itu sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Ke-16,Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.

Baginda menzahirkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga kelihatan tidak matang,menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tegas baginda kenyataan tersebut adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.

"Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan,Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara."

"Perkara 43(2) menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut," titah Tengku Mahkota Pahang dalam kenyataannya.

Baginda bertitah,sungguhpun begitu,Yang di-Pertuan Agong Ke-16,Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.

Baginda semasa itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan,penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan Perdana Menteri semasa itu dibuat.

Baginda bertitah Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.

Sehubungan itu,keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong ke-16,Al-Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

"Baginda menasihatkan kepada semua ahli politik,selaku pemimpin rakyat,mestilah sentiasa berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus-menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju,cemerlang ekonomi,alam sekitarnya lestari dan rakyatnya Bahagia," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini,tular di media sosial ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.

Berikutan itu,Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang,Amir Syafiq Hamzah membuat laporan di Balai Polis Kuantan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Maklumat Perniagaan Melayu   Stok, sekuriti, pengurusan kewan   Hubungi kami   SiteMap